PERANGAI KEJI
MENGAIBKAN ORANG LAIN DAN DIRI SENDIRI
Aib yang sifatnya merupakan kejadian Allah seperti
kecacatan pancaindera, atau perbuatan yang mengaibkan atau kesalahan yang
dilakukan, atau ciptaan yang direka bertujuan mengaibkan dan menjadi aib bagi
dirinya, tidak boleh dibicarakan dan disebarkan, lebih-lebih dengan niat jahat
dan buruk kerana pandangan majoriti ulama berpendapat bahawa perbuatan itu merupakan
satu dosa. Apabila kita menyebarkannya bererti menghina Penciptanya.
(Al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din). Lebih teruk lagi ia bersifat menfirnah,
berbohong atas dasar mahu menghina, mengeji, sakit hati dan sebagainya
Mungkin berniat baik, dengan mengatakan Allah lebih
tahu, niat dan matlamat, Allah lebih tahu, niat untuk memberi nasihat dan
sebagainya. Namun, apakah hukuman dilaksanakan terhadap sesuatu yang tidak
nampak atau hukuman dilaksanakan pada sesuatu yang zahir? Islam memberitahu,
sekali niat yang baik walau tidak dilakukan, maka beroleh satu kebaikan. Tetapi
niat jahat, hanya memperoleh satu keburukan apabila dilakukan. Walau ada yang
berniat baik, namun mereka sangat keji dari segi akhlak.
Imam al-Syafi’i berkata, “Sesiapa yang menasihati
saudaranya dengan tetap menjaga rahsianya bererti dia benar-benar menasihatinya
dan memperbaikinya. Sedangkan yang menasihati tanpa menjaga rahsianya, bererti
telah membuka aib dan mengkhianati saudaranya.” (Syarh Sahih Muslim)
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya
nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat".
Kefahaman daripada hadis ini ialah, sesiapa yang
menghemburkan kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya nescaya Allah
memasukkan ke dalam api neraka pada hari kiamat.
Firman Allah swt: “Sesungguhnya orang-orang yang
suka menghebah (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan
orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nûr: 19)
Allah swt mengecam orang yang menyiarkan berita
buruk agar diketahui oleh orang mukmin lain, bahkan bagi mereka azab pedih di
dunia dan di akhirat. Ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya
orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar dalam
kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.
Dan Allah maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nur
24:19)
Memerli, memperolok-olok, mengejek, menghina,
mengeji, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan dan
mengaibkan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya
adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah. Sesiapa yang mencaci orang
lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sesiapa yang melakukan perbutan
buruk kepada orang lain, dengan niat sengaja buruk tanpa paksaaan pihak lain,
hakikatnya dia sedang menempah keburukan dan melakukan kejahatan terhadap
dirinya sendiri.
Firman Allah swt: "Kecelakaan besar bagi
tiap-tiap pencaci, pengeji," (Surah al-Humazah:1)
Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah SAW bersabda:
“Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina.
Sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat, maka diterima Allah
swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan
diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.” Seseorang yang melakukan keburukan dan
kejahatan ke atas diri orang lain, kesalahan tersebut tiada kemaafan dan
keampunan melainkan dimaafkan oleh orang yang menjadi mangsa keburukan tadi.
Pelbagai cara dan jalan keburukan yang boleh
dilakukan oleh seseorang terhadap orang lain. Daripada Abu Musa Al-Asy’ari
radhiyallahu ‘anhu dia berkata, aku berkata, “Wahai Rasulullah, orang Islam
yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang kaum
Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ada yang memburukkan orang alain dengan kelantangan lidahnya menyembur
kata-kata makian dan mengaibkan, ada juga yang menggunakan tangan sebagai
wasilah daripada dendam kesumat di dalam hatinya.
Firman Allah swt: "Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah
dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban
orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah
al-Hujurat: 12)
Orang yang mengumpat diibarat memakan daging
saudaranya yang lain. Apatah lagi mengaibkan?
Apa yang sedang membarah kini ialah sikap yang suka
mengaibkan orang lain. Dalam kata lain suka mendedahkan keburukan orang lain
secara terang-terangan, sebar kepada orang lain dengan niat jahat dan tanpa
pengetahuan orang yang diaibkan. Islam tidak pernah mengajar perlakuan jahat
dan buruk terhadap orang lain bersandarkan tujuan yang baik. Di dalam sebuah
hadith, Nabi saw bersabda, "Tiada mudharat dan tiada memudharatkan."
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Wahai golongan
yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah
kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka
barangsiapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip
keaibannya dan sesiapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan
membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.” (Hadis riwayat
at-Tirmidzi)
Seandainya keaiban tadi adalah keaiban orang lain
pula, maka itu sudah masuk ke dalam kategori mengumpat dan seperti yang Allah
fimankan tadi, perbuatan itu diumpamakan seperti memakan daging saudara muslim
yang telah mati.
Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan
lazimnya mereka akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika
ia diketahui umum. Sedangkan seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya
ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Maka, biasanya kita akan
merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri kira sendiri. Ia sama
keadaan dengan aib pada kecacatan dan kekurangan diri.
Keaiban yang dilarang untuk diceritakan itu bukan
cuma keaiban orang lain. Keaiban diri sendiri juga harus dan perlu ditutup oleh
setiap orang.
Rasulullah SAW bersabda: "Semua umatku selamat,
kecuali orang yang terang-terangan melakukan dosa. Dan termasuk terang-terangan
itu adalah seseorang yang melakukan dosa di waktu malam gelap, mendadak
pagi-pagi diceritakan kepada orang lain. Padahal semalam Allah telah menutupi
dosanya itu tetapi setelah paginya dia membuka apa yang Allah tutup itu"
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang
pun yang terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah saw bersabda:
"Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik
orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat." ( HR Ahmad).
Maka, selagi mana perbuatannya itu tidak dilakukan
secara terang-terangan, maka perlakuan itu haruslah dirahsiakan dan dia tidak dihukum
disebabkan dosanya itu.
Aib sendiri merupakan satu rahsia. Ada orang yang
berbangga dengan maksiat dan keburukan yang dilakukan. Islam mengajar kita
supaya menutup aib sendiri, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
“Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum
keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan
dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada
untuk mengampunkannya atau mengazabnya.” (Riwayat Bukhari)
Kalaulah Allah ingin membuka aib kita, memang tidak
tertanggung malunya. Allah Maha Pengasih, sebanyak mana pun dosa yang kita
lakukan, Allah tidak mendedahkannya. Oleh sebab itu, janganlah kita sendiri
pula yang mendedahkan keaiban kita. Menutup aib ialah perbuatan yang dianjurkan
oleh Islam, sekalipun dosa itu besar.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tahukah kamu
siapa orang yang muflis?”
Jawab mereka, “Orang yang muflis dalam kalangan kami
ialah sesiapa yang tiada dirham dan harta.”
Sabda baginda memberikan perspektif berbeza bagi
perkataan muflis, “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah sesiapa yang
datang pada hari kiamat kelak bersama pahala solat, puasa dan zakat, namun dia
juga pernah memaki dan menuduh seseorang, memakan harta, menumpahkan darah
serta memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya.
Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka
diambil dosa-dosa mereka dan dicampakkan ke atasnya, lantas dia dicampakkan ke
dalam neraka.” (Riwayat Muslim)
Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang
pun yang terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah saw bersabda, “Setiap
daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang
berbuat salah adalah orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad)
Sabda Nabi saw: “Jauhilah perkara-perkara keji yang
telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia
menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika
sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan
menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.”
(Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau
berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim)
dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi)
Sabda Nabi saw: “Jangan buka aib orang kerana Allah
akan membuka aibmu walaupun di dalam rumahmu sendiri "
Sabda Nabi saw: "Barangsiapa yang menutup aib
saudara muslimnya, nescaya Allah swt akan menutup keaibannya di akhirat
kelak."
Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud:
“Barangsiapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di
dunia dan di akhirat." (Riwayat Tirmidzi)
Sabda Nabi saw: "Tiada seorang yang menutupi
aurat (keaiban) orang di dunia, melainkan Allah akan menutupi keaibannya di
hari kiamat." (Riwayat Muslim)
Tidaklah seseorang itu banyak bercakap akan aib
orang lain, menyebutkan kesalahan dan mendedahkan aib mereka melainkan orang itu
orang munafiq yang terhina.
Hidup dalam mencari..
No comments:
Post a Comment